Wednesday, June 10, 2009

10 Subjek Dah Cukup Untuk SPM

Salam sejahtera.

Pagi ini saya menonton buletin pagi di TV 3. Stu berita yang amat menarik untuk saya berkongsi di sini ialah berkaitan dengan cadangan KPM untuk menghadkan jumlah bilangan mata pelajaran untuk peperiksaan SPM sebanyak 10 sahaja. Alasan yang diberikan ialah supaya para pelajar dapat memberi fokus kepada subjek teras dan bagi memudahkan pemilihan pelajar untuk penganugerahan biasiswa. Selain itu KPM juga meminta NGO-NGO ataupun pertubuhan-pertubuhan masyarakat nmemberi maklum balas tentang cadangan ini dan jika tidak bersetuju berikan alasan-alasan untuk itu.

Saya terpanggil untuk berkongsi pendapat walaupun saya hanya sebagai AJK PIBG sekolah rendah yang tidak berkaitan dengan peperiksaan SPM. Saya lebih senang untuk tidak bersetuju dengan cadangan KPM dan inilah alasan-alasan saya. Pertama sekali berkaitan dengan sejarah peperiksaan SPM itu sendiri yang tidak pernah menghalang pelajar-pelajar untuk mengambil berapa banyak subjek yang mereka mahu. Daripada sini saban tahun kita sentiasa melihat pelajar-pelajar berlumba-lumba untuk mencipta sejarah mendapat bilangan A yang tinggi dan sejarah yang dicipta ini amat baik dan memang digalakkan. Dua tiga tahun kebelakang ini nampaknya pelajar-pelajar sekolah agama rakyat mendominasi sejarah pelajar terbaik dan sebagai orang Islam saya amat bangga sekali kerana yang mencipta sejarah tersebut merupakan pelajar Islam yang bersekolah di sekolah agama rakyat yang serba kekurangan. Jika cadangan KPM dilaksanakan, saya pasti tiada sejarah akan tercipta lagi selepas ini kerana rekod sedia ada pasti tidak akan terpecah.

Alasan KPM agar pelajar boleh memberi fokus untuk subjek teras boleh diterima. Walau bagaimanapun jika ada pelajar-pelajar yang boleh memberi fokus lebih daripada 10 subjek tetapi kreativiti mereka terhalang kerana dasar kerajaan bukankah itu sesuatu yang merugikan. Pelajar yang bijak adalah pelajar yang tahu potensi diri sendiri. Oleh itu tidak perlulah kita pengap potensi diri pelajar tersebut atas alasan untuk fokus kepada subjek teras. Bilangan orang yang kenal potensi diri sendiri bukannya ramai dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mencungkil potensi ini, bukan melenyapkannya kerana ia bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang mahu melahirkan pelajar yang seimbang daripada aspek rohani, jasmani, intelek dan emosi serta mencungkil segala potensi yang ada di dalam diri pelajar-pelajar.

Mengambil bilangan subjek yang banyak tidak menjejaskan proses pemberian biasiswa mahupun penempatan ke IPTA. Ini kerana kita telah sedia maklum bahawa kriteria pemilihan bukan semata-mata kepada bilangan A subjek tetapi ia juga merangkumi aspek kokurikulum pelajar selain keutamaan kepada subjek teras sebagai asas pemilihan. Perkara ini telah diamalkan sejak lama dahulu dan ia tidak pernah berbangkit sebelum ini dan masyarakat menerimanya. Untuk makluman, pelajar-pelajar yang mencipta rekod SPM bukan sahaja terbaik di bidang akademik malahan mereka juga merupakan pelajar-pelajar yang aktif di bidang kokurikulum.

Saya lebih melihat kepada perspektif setiap orang berhak untuk diberi ruang bagi membuktikan potensi diri. Janganlah dasar kita menyebabkan kita menjadi mundur selangkah. Apa yang boleh KPM lakukan ialah dengan melakukan perubahan secara berhemah dahulu seperti yang kita sedia maklum bahawa peperiksaan awam sekarang adalah percuma dan ditanggung oleh kerajaan. Oleh itu bagi mengelakkan pelajar-pelajar mengambil bilangan subjek yang banyak atas alasan ia percuma, maka perkara pertama yang KPM boleh lakukan ialah menghadkan bilangan subjek yang percuma kepada sepuluh sahaja. Jika pelajar ingin mengambil lebih daripada itu, mereka perlu membayar yang selebihnya. Ini boleh mengekang pelajar daripada membuat keputusan yang silap kerana kesilapan ada harganya selain mengelakkan pelajar bersikap sekadar untuk mencuba sedangkan mereka tahu kemampuan mereka.

Alternatif lain yang boleh KPM lakukan ialah menjadikan merit untuk subjek teras yang terkandung dalam sepuluh subjek ini lebih tinggi nilainya berbanding dengan subjek-subjek lain. Pastikan nilainya lebih tinggi dan mungkin boleh diletakkan dalam gandaan dua berbanding subjek lain. Jika ini dilaksanakan saya yakin pelajar akan memberi fokus yang lebih kepada subjek teras berbanding subjek bukan teras seterusnya mengelakkan mereka daripada mengambil banyak subjek yang saya kira akan merosakkan peluang mereka untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang di dalam subjek teras. KPM juga perlu mengumumkan nilai subjek teras ini supaya para pelajar tahu apa yang mereka perlu buat.

Sebelum saya menoktahkan tulisan ini, sekali lagi saya tegaskan bahawa tugas kita adalah mencungkilkan bakat dan potensi pelajar-pelajar. Dasar yang dicadangkan ini akan menjadikan kita sebagai virus yang merosakkan potensi pelajar. Sudah tentu ini tidak adil kepada mereka kerana ia hanya akan menjadikan kita seolah-olah takut rakyat kita jadi pandai dan agak malang sekali kerana cadangan ini jika dilaksanakan akan menajdikan kita 10 langkah kebelakang. Fikir-fikirkanlah supaya isu seperti ini tidak akan meletup seperti mana isu PPSMI.

Wassalam.

PIBG Serasme
10 Jun 2009/11am.

Friday, June 5, 2009

MULANYA DI SINI 5 JUN 2009 JAM 5.20PM

Salam.
Bermulanya blog PIBG Sek Ren Agama Sungai Merab Luar atau singkatannya PIBG Serasme. Sebarang cadangan atau komen boleh diemelkan kepada:
pibgserasme@gmail.com

Jazakallah Khairan Kathira.

Moderator.